Majlis Perasmian Galeri Digital Sanggar Seni PKW
Pusat Kesenian Dan Warisan Sediakan Platform Digital
Pusat Kesenian dan Warisan (PKW), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menyahut seruan kerajaan dengan mewujudkan Galeri Digital Sanggar Seni UniSZA dalam pelaksanaan konsep pendigitalan seni yang sedang giat diusahakan dengan kerjasama Pusat Kreativiti Warisan Lambo Sari, Galeri Tanjak Tokku, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer) dan Galeri Raja Ehsan.
Antara objektif platform ini adalah untuk memelihara dan menjaga warisan seni budaya yang terdahulu merupakan tangible dan kini perlu menghadapi transformasi ke alam maya, sejajar dengan peredaran masa disamping pandemik covid-19 yang rata-rata memaksa semua lapisan masyarakat memikirkan teknologi digital.
Majlis Perasmian Galeri Digital Sanggar Seni telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato’ Yahaya Ali pada 21 Mac 2021 di Laman Sri Paduka, Pusat Kesenian dan Warisan, UniSZA Kampus Gong Badak. Turut hadir, Naib Canselor UniSZA; Prof.Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh dan Pendaftar UniSZA; Ismail Musa.
Bakat Disemai Warisan Dipelihara, wajarlah PKW mewujudkan galeri digital ini yang bukan sahaja dapat memberi input tentang kepentingan memelihara warisan bahkan turut membantu para penggiat seni Terengganu menerusi Sahabat Seni UniSZA menjana pendapatan dengan menyertai platform kami untuk mengadakan aktiviti jual beli karya mereka secara dalam talian seperti kraftangan, lukisan, jahitan, ukiran dan banyak lagi. Semoga usaha kecil ini dapat memberi nilai tambah kepada kewujudan dan peranan PKW dalam era globalisasi digital seni kelak.
tas/ppk/pkw/16062021